Kepentingan Perancangan Kewangan (Financial Planning)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Apakah itu Perancangan Kewangan?

Perancangan Kewangan adalah salah satu pendekatan untuk mencapai matlamat kewangan seseorang individu. Pelan kewangan berfungsi sebagai panduan dalam membuat keputusan kewangan. Secara asasnya, ia membantu mengawal pendapatan, perbelanjaan dan pelaburan anda.

Sebagai contoh, anda ingin mengumpul dana sebanyak RM 30,000 untuk pendidikan anak anda yang berusia 5 tahun. Anda perlu membina satu potfolio pelaburan bagi mengembangkan modal anda supaya dana pendidikan ini tersedia ketika anak anda berusia 18 tahun. Disinilah perancangan kewangan memainkan peranan.

Kelebihan Perancangan Kewangan.

Terdapat banyak kelebihan jika anda pilih untuk merancang kewangan anda. Antaranya:

Menambahkan Simpanan

Tidak menjadi kesalahan jika anda ingin menyimpan wang anda tanpa merangka sebuah pelan. Cumanya, ia bukanlah cara yang paling efisien. Apabila anda merangka pelan kewangan, anda akan mendapat gambaran mengenai jumlah pendapatan dan perbelanjaan anda. Dengan cara ini, anda akan dapat mengawal perbelanjaan anda terhadap perkara-perkara yang tidak penting sekaligus membantu anda meningkatkan jumlah simpanan dalam jangka masa yang pendek.

Meningkatkan Kualiti Kehidupan

Kebanyakkan daripada kita menyangka kita cuma perlu memotong perbelanjaan-perbelanjaan bukan keperluan seperti percutian dan sebagainya bagi menambahkan simpanan. Tetapi, dengan perancangan yang teliti, simpanan kita boleh bertambah disamping mengekalkan tahap kualiti kehidupan kita.

Bersedia Menghadapi Kecemasan

Membina tabung kecemasan adalah satu perkara yang amat penting dalam Perancangan Kewangan. Anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya dana sebanyak 6 bulan perbelanjaan anda. Ini akan membantu anda menghadapi situasi getir dalam hidup anda, misalnya dibuang kerja, kereta rosak dan sebagainya. Dana ini juga dapat membantu anda membayar perbelanjaan tidak tetap tepat pada waktunya.

Meraih Ketenangan Jiwa

Dengan dana yang mencukupi, anda tidak risau dengan perbelanjaan bulanan, dapat melabur untuk mencapai matlamat anda, dan juga berbelanja bagi tujuan percutian dan sebagainya. Pelan Kewangan membantu anda menguruskan kewangan anda secara efisien sekaligus memberikan ketenangan. Jika anda berada dalam proses merangka pelan kewangan, perjalanan menuju Financial Freedom adalah tidak jauh.

Merancang untuk Matlamat Kewangan

Kepentingan Perancangan Kewangan secara peribadi adalah satu perkara yang tidak seharusnya diabaikan, terutamanya kita sebagai rakyat Malaysia. Ia bukannya sekadar menyimpan kesemua wang yang kita perolehi dan memotong kesemua perbelanjaan kita. Ia melibatkan banyak perkara termasuk mencapai matlamat kehidupan kita seperti:

Pengumpulan Harta

Kadar inflasi yang membimbangkan pada zaman kini memberi petanda yang anda perlu menyediakan sejumlah dana bagi mengekalkan kualiti kehidupan anda. Anda mungkin berhasrat untuk membeli kereta baharu, atau ingin memiliki rumah sendiri pada masa akan datang. Semua ini memerlukan duit dan menunjukkan betapa pentingnya pengumpulan harta. Kita berkemungkinan untuk mencapai semua ini dengan melaburkan duit kita dalam medium yang bersesuaian. Sebagai contoh, pelaburan Unit Amanah Saham dapat membantu anda mengembangkan duit anda dalam jangka masa yang panjang.

Perancangan Persaraan

Anda mungkin akan bersara dalam masa 25 – 35 tahun daripada sekarang. Ini tidak bermakna anda tidak perlu memikirkannya sehinggalah tiba waktu untuk anda bersara. Untuk bersara dengan kehidupan yang selesa, anda perlulah merancang bermula daripada usia muda. Malahan, anda tidak perlu mengeluarkan jumlah modal yang besar jika anda bermula awal dan anda dapat menggunakan kuasa kompaun dalam mengembangkan modal anda.

Dana Pendidikan Anak

Kos pendidikan pada masa kini telah meningkat pada kadar yang membimbangkan dan ianya akan terus meningkat pada masa akan datang. Ini menunjukkan bahawa pentingnya untuk kita merancang dana pendidikan sejak kelahiran anak lagi. Buat kira-kira jumlah dana yang diperlukan, dan mulalah melabur dalam medium pelaburan jangka masa panjang. Anda boleh menghubungi mana-mana Perancang Kewangan Berlesen untuk mendapatkan bantuan.

Perancangan Cukai

Setiap tahun, anda mungkin telah membayar sejumlah besar wang anda dalam bentuk cukai. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan senarai pelepasan cukai bagi pelaburan-pelaburan tertentu. Dengan Perancangan Cukai yang betul, anda dapat mengenalpasti medium-medium pelaburan ini, sekaligus mengurangkan Pendapatan Boleh Cukai anda. Misalnya, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) menawarkan skim pelaburan jangka masa panjang bagi mereka yang ingin membina dana pendidikan untuk anak-anak. Yang menariknya, skim ini menawarkan pelepasan cukai sehingga RM 8,000 setahun.

Cara-cara membina Pelan Kewangan (Financial Plan)

Fahami situasi semasa kewangan anda.

Fahami situasi kewangan anda dengan menyenaraikan jumlah pendapatan, perbelanjaan, simpanan, hutang dan nilai semasa pelaburan anda. Ini adalah langkah penting dalam memulakan pelan kewangan, ia memberi gambaran menyeluruh terhadap kesihatan kewangan anda.

Tuliskan matlamat hidup anda.

Cuba tanya pada diri anda: “Apakah matlamat hidup yang saya ingin capai?” Dan tuliskan diatas sehelai kertas. Pastikan anda menyenaraikan daripada sekecil-kecil matlamat kepada sebesar-besar matlamat. Pastikan juga anda menyenaraikannya secara spesifik. Sebagai contoh, “Saya ingin membeli sebuah rumah berharga RM 400,000 dalam masa 5 tahun daripada sekarang” atau “Saya ingin membeli sebuah kereta pada harga RM 70,000 dalam masa setahun daripada sekarang”.

Kaji pilihan-pilihan pelaburan yang ada.

Terdapat banyak medium pelaburan yang ada untuk dipilih. Unit Amanah sebagai contoh, terdapat 39 syarikat berlesen dibawah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menawarkan 738 kumpulan dana yang boleh dipilih mengikut objektif pelaburan anda. Misalnya, Dana Ekuiti sesuai untuk pelaburan jangka masa panjang bagi merancang persaraan, pendidikan dll. Ramai pakar kewangan mengakui kelebihan-kelebihan pelaburan unit amanah, terutamanya jika anda berminat untuk melabur secara konsisten dalam jangka masa yang panjang.

Pilih pelan yang bersesuaian.

Anda perlu memilih medium pelaburan yang betul berdasarkan kepada beberapa faktor seperti objektif pelaburan, umur, toleransi risiko dan jumlah modal. Jika anda kurang pasti dana yang ingin anda pilih, anda bolehlah mendapatkan khidmat mana-mana Perancang Kewangan Berlesen. Mereka ini adalah individu-individu profesional yang berlesen dibawah SC yang dapat membantu anda dari pelbagai sudut kewangan anda seperti takaful, pelan persaraan, harta pusaka, percukaian dan termasuklah pelaburan.

Pantau keberkesanan Pelan Kewangan anda.

Perancangan Kewangan tidak berakhir sebaik sahaja anda mula melabur. Sebagai contoh, anda perlu memantau prestasi dana Unit Amanah yang anda pilih. Jika prestasinya tidak baik, anda mungkin perlu menukar ke dana yang prestasinya lebih baik. Selain itu, berkemungkinan jumlah pampasan kematian/cacat kekal yang boleh dituntut melalui pelan takaful yang anda sertai 5 tahun dahulu sudah tidak mencukupi jika terjadi sesuatu yang tidak diingini. Ini kerana, secara logiknya, kos kehidupan kita akan bertambah seiring dengan masa.

Konklusi

Seperti kata-kata yang selalu kita dengari, “Jika anda gagal merancang, anda sedang merancang untuk gagal.” Anda mungkin mempunyai beberapa matlamat kewangan berlainan yang ingin anda capai. Namun, untuk anda mencapainya pada waktu tertentu sepanjang hidup anda, anda mesti mempunyai pelan kewangan sejak awal lagi.

In Shaa Allah.


Bagi yang berminat menempah slot konsultasi dengan Perancang Kewangan Islam Berlesen, klik butang dibawah.