Bagaimana nak cari semangat tulis blog?

Gambar sekadar ilustrasi

Sudah pasti ramai diantara kita yang berhasrat untuk menjadikan minat kita sebagai satu kerjaya yang dapat menampung kehidupan kita. Jika kita membuat carian di internet, terdapat banyak cara yang kita boleh praktikkan untuk mencapainya. Hari ini saya akan berkongsi salah satu daripada cara-cara tersebut. Caranya adalah dengan perkongsian secara terbuka dan perhubungan dengan mereka yang sama minatnya dengan kita.

Cuba bayangkan jika bakal majikan anda tidak perlu melihat resume anda kerana mereka telahpun meneliti blog anda. Bayangkan jika anda kehilangan kerja, tetapi anda sudah mempunyai satu kumpulan ataupun audiens yang sedia membantu anda untuk mendapatkan kerja baharu. Austin Kleon dalam bukunya, Show Your Work! telah menulis 10 cara untuk berkongsi kreativiti dan hasil kerja kita kepada audiens yang lebih luas. Harini saya akan berkongsi salah satu daripada cara-cara tersebut. Jom baca!

Anda tidak perlu menjadi seorang genius.

Terdapat beberapa mitos tentang kreativiti yang biasa kita dengar, antaranya ialah mitos Lone Genius, dimana seseorang genius, yang tidak dikenali sesiapa, tiba-tiba muncul dengan karyanya yang baharu. Si genius ini berjaya mengagumkan serta menjadi sebutan ramai pihak. Apabila genius ini mendapat sesuatu ilham, dia akan duduk senyap di tempatnya membentuk karyanya sehinggalah tiba suatu masa untuk dipersembahkan di khalayak ramai. Jika mitos ini yang kita pegang, maka kreativiti ini adalah suatu perkara yang anti sosial, yang hanya dimiliki oleh beberapa orang individu ternama sahaja seperti Einstein dan Mozart. Kita selainnya ditinggalkan dalam keadaan terpana akan karya-karya mereka.

Terdapat satu lagi tanggapan terhadap kreativiti yang jauh lebih baik iaitu idea-idea kreatif ini terhasil daripada satu kumpulan individu yang saling bertukar pendapat antara satu sama lain. Perkara ini menghasilkan satu ‘ekologi bakat’. Sebagai contoh, sekumpulan penyanyi yang sentiasa berhubung dan bertukar idea sesama mereka. Daripada kumpulan ini telah terhasil lagu-lagu yang sedap didengar dan liriknya yang tersusun cantik.

Albert Einstein

Balik kepada bagaimana cara untuk kita mula menulis apa-apa bentuk perkongsian, anggaplah penulisan kita ini sebagai satu bentuk perkongsian perjalanan kita dalam mempelajari suatu ilmu baharu. Perkongsian sebegini dapat membantu kita mencari dan berhubung dengan individu-individu yang seminat dengan kita. Dalam proses anda berkongsi pengalaman anda, anda sebenarnya sedang melangkah masuk ke dalam satu kumpulan yang dianggotai oleh para individu yang sehaluan dengan anda. Inilah yang dikatakan sebagai ‘ekologi bakat’ dan kumpulan inilah yang membolehkan anda bertukar pendapat serta mempelajari ilmu-ilmu baharu dengan lebih efektif.

Selain itu, antara perkara yang menghalang kita untuk mula menulis atau berkongsi secara terbuka adalah kita rasa kita perlu menjadi seorang pakar dahulu dalam bidang tersebut. Inilah apa yang saya rasakan dahulu sebelum saya mula menulis di blog ini. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Kita selalu merasa takut jika orang lain dapat mengetahui yang kita sebenarnya bukanlah pakar ataupun profesional dalam bidang yang kita kongsikan. Kita takut jika orang lain menggelar kita seorang yang tidak mahir atau kata lainnya seorang amatur.

“That’s all any of us are: amateurs. We don’t live long enough to be anything else.”

-Charlie Chaplin-

Sebenarnya, menjadi seorang amatur lebih banyak kelebihannya. Menurut Austin Kleon, seorang amatur tidak takut untuk melakukan kesilapan, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mempelajari ilmu yang mereka minati. Sikap seorang amatur ini umpama orang yang sedang jatuh cinta. Mereka akan cuba sedaya upaya demi mencari ilmu agar mereka menjadi mahir, tanpa menghiraukan kata-kata orang lain. Seorang amatur mungkin kurang sesi pembelajaran secara formal, namun mereka adalah pelajar sepanjang hayat. Mereka tidak malu untuk berkongsi proses pembelajaran mereka supaya orang lain boleh belajar daripada kejayaan mereka dan mengambil iktibar daripada kegagalan mereka.

Penulis Clay Shirky dalam bukunya Cognitive Surplus menulis, “Dalam lingkungan kreativiti, jarak perbezaan antara amatur dan pakar ini adalah luas, tetapi masih lagi di dalam satu lingkungan; kita boleh perlahan-lahan berpindah daripada amatur kepada pakar. Namun, jurang yang paling ketara adalah antara melakukan sesuatu dan tidak melakukan apa-apa langsung.” Seorang amatur tahu yang menyumbang sedikit adalah lebih baik daripada tidak menyumbang langsung.

Perubahan dunia yang pesat pada zaman sekarang menyebabkan kita semua cepat bertukar kepada amatur, walaupun dalam bidang kepakaran kita sendiri. Kita menghabiskan banyak masa belajar ilmu teori di universiti dan apabila selesai majlis graduasi, kita akan keluar berhadapan dengan masyarakat. Disini kita kembali bertukar menjadi seorang amatur, kerana banyak perkara baharu yang perlu kita pelajari dari segi praktikal.

Malahan, seseorang yang telah pakar dalam sesuatu bidang masih perlu mengekalkan semangat ingin tahunya, seperti sikap seorang amatur, untuk lebih maju dalam bidang kerjayanya. Thom Yorke pernah ditanya apakah sumber kekuatannya dan beliau menjawab, “Saya tidak tahu apa yang saya buat.” Ini menunjukkan bahawa beliau sentiasa mengeluarkan dirinya daripada zon selesa dan selalu merasa dahaga untuk belajar ilmu-ilmu baharu.

“Find your voice, shout it from the rooftops, and keep doing it until the people that are looking for you find you.”

-Dan Harmon-

Pernah atau tidak anda tertanya, “Apakah perkara yang saya nak kongsikan?” “Ada ke yang nak dengar?” Jawapan kepada soalan ini berkait dengan persepsi anda terhadap luahan personaliti anda secara terbuka. Kita merasa seolah-olah tidak ada yang akan berminat dengan perkongsian kita dan apa yang kita buat ini hanyalah sia-sia. Sebaliknya, kita hanya perlu berkongsi sahaja, mereka yang berminat dan sedar akan kewujudan bakat kita akan datang kepada kita. Maka terbinalah sebuah audiens yang sentiasa ada untuk menyokong kita. Melalui interaksi dengan audiens, kita akan berjumpa dengan rakan-rakan, teman bisnes, mahupun bakal pasangan hidup kita. Tidakkah ini satu perkara yang menarik?

Kesimpulannya, cara yang terbaik untuk anda mula berkongsi, tidak kiralah melalui penulisan di blog, Facebook, Twitter, ataupun pembikinan video di Youtube, adalah anda hanya perlu terus mulakan langkah pertama untuk berkongsi. Contohnya, perkongsian tentang sebuah lukisan yang anda sedang usahakan, anda boleh terus mula berkongsi di media sosial bagaimana persediaan anda sebelum memulakan lukisan, peralatan yang digunakan dan sebagainya sehinggalah siap menjadi sebuah lukisan yang cantik. Proses menyiapkan sesebuah lukisan itulah yang akan menginspirasi individu-individu lain untuk terus mengikuti perkembangan anda dan karya anda. Dari sudut lain, anda juga boleh terinspirasi dengan lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh rakan-rakan dalam satu ‘ekologi bakat’ anda, sekaligus memberi ilham kepada anda untuk menghasilkan sebuah karya yang lebih menarik pada masa akan datang.

Baik, setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini, saya akan berkongsi 9 lagi cara-cara yang lain pada penulisan yang akan datang, In Shaa Allah. Semoga Bermanfaat.

Sumber Rujukan :

  1. Show Your Work! – Austin Kleon

Rating: 4 out of 5.

Apa itu FPR (Financial Planning Representatives) dan FAR (Financial Advisor Representatives)?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Jika kita lihat kepada statistik daripada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara, setakat bulan July 2017, jumlah ejen Takaful yang aktif adalah berjumlah lebih kurang 64,000. Manakala ejen Unit Amanah dan PRS (Private Retirement Scheme) pula berjumlah sekitar 80,000.

Jumlah ini sangatlah jauh beza dengan jumlah FPR/FAR di Malaysia, iaitu hanya 1000 lebih sahaja. Yang muslim hanyalah sekitar 100 lebih sahaja. Tidak hairanlah kewujudan FAR/FPR ini tidak diketahui umum. Malahan, ejen-ejen produk kewangan sendiri pun tidak mengetahui akan kewujudan mereka ini.

Selain itu, gelaran Financial Planner/Advisor bukanlah suatu gelaran yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum 25 Juta, atau penjara 8 tahun, atau kedua-duanya sekali. Cumanya, pendedahan tentang perkara ini adalah masih lemah dan kerana itu masih ramai yang menggunakan gelaran ini tanpa lesen yang sepatutnya.

Apakah fungsi FPR dan FAR ini?

Seseorang yang mempunyai lesen FPR, dibawah Suruhanjaya Sekuriti, boleh membantu klien untuk merangka pelan kewangan secara menyeluruh. Terdapat beberapa perkara pokok yang membentuk keseluruhan kewangan kita. Ianya adalah seperti yang tersenarai dibawah:

Pertama – Aliran Tunai (Cashflow)

Kedua – Nilai Aset Bersih (Networth)

Ketiga – Pengurusan Risiko (Risk Management)

Keempat – Perancangan Pelaburan (Investment Planning)

Kelima – Perancangan Persaraan (Retirement Planning)

Keenam – Perancangan Zakat dan Cukai (Zakat & Tax Planning)

Ketujuh – Pengurusan Harta Pusaka (Estate Management)

Kesemua ini akan dipelajari dalam kursus pensijilan IFP (Islamic Financial Planner) atau ShRFP (Shariah Registered Financial Planner) sebelum seseorang itu boleh mendapatkan lesen FPR. Silibus kemungkinan berbeza diantara kedua-dua kursus tersebut, namun asasnya adalah sama.

Seorang FPR boleh mengakses produk kewangan melibatkan pelaburan daripada pelbagai syarikat, seperti Unit Amanah dan Private Mandate. Ini adalah bertujuan untuk memudahkan para FPR menawarkan produk yang bersesuaian kepada klien mengikut keperluan dan matlamat klien. Seorang FPR juga boleh membina potfolio Unit Amanah mengikut toleransi risiko klien tanpa dikenakan Switching Fee untuk tujuan portfolio rebalancing. Berbanding seorang ejen, yang hanya menumpukan kepada jualan produk tanpa menganalisa dahulu keperluan klien. Sudah semestinya bukan semua ejen sebegini, saya kenal ramai ejen yang sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada klien mereka.

Bagi FAR pula, mereka ini adalah individu berlesen dibawah BNM (Bank Negara Malaysia) yang boleh menawarkan pelbagai produk Takaful, samada Takaful keluarga atau am, dari pelbagai syarikat. Sudah tentu, kebolehan istimewa ini adalah bertujuan untuk memudahkan mereka membandingkan produk-produk Takaful sekaligus menawarkan pelan yang terbaik kepada klien dalam merancang kewangan klien. Saya jumpa ramai individu yang berhasrat untuk menyertai pelan Takaful, namun bertangguh dahulu atas alasan ingin membandingkan harga antara syarikat-syarikat Takaful. Nasihat saya, terus berjumpa dengan FAR, mudah kerja…

Sudah semestinya, mereka ini bukanlah membuat kerja amal. Cas-cas servis professional akan dikenakan mengikut ketetapan individu yang mempunyai lesen FPR, dimana casnya boleh mencecah ribuan ringgit mengikut nilai aset klien. Berwaspadalah bagi mereka yang mengenakan cas untuk servis perancangan kewangan. Tanya mereka jika mereka mempunyai lesen FPR. Ataupun boleh periksa disini – (https://ers.seccom.com.my/public/Default.aspx?menu=1)

Muhammad Imran Bin Mohd. Zakir

Certified Islamic Financial Planner (IFP). Financial Planner Representative (FPR)

eCMSRL/C1008/2021

Rating: 4 out of 5.