Apa itu Riba?

Assalamualaikum, dan Salam Sejahtera.

Apa itu riba? Ini adalah satu topik yang kompleks dan ramai dalam kalangan kita, yang masih tidak faham apakah itu riba. Riba merupakan salah satu daripada unsur-unsur dalam sesebuah urusniaga yang diharamkan oleh syarak.

Imran Zakir LFP

Riba ini merupakan satu topik yang sentiasa berkembang seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi sehingga menjadi suatu perkara yang sangat kompleks. Topik ini tidak akan dapat kita mahir tanpa kajian yang mendalam terhadap perkembangan teknologi dan perkara-perkara yang boleh menjurus kepada berlakunya riba.

Nabi SAW bersabda: “Tidak berganjak kedua kaki anak Adam pada hari Qiamat sehinggalah dia disoal tentang empat perkara : tentang umurnya, pada apakah dihabiskan? Tentang masa mudanya bagaimanakah dipergunakan? Tentang hartanya, dari manakah dia memperolehinya dan kemanakah dibelanjakan? Tentang ilmunya, apakah yang diamalkannya.”(HR Tirmizi)

Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut (mencari) yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dari Anas r.a. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini darjatnya hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5270).

Maksud riba dari segi bahasa adalah lebih, biak, kembang, bertambah atau subur di atas sesuatu daripada ukuran asal atau jumlah. 

Menurut Mazhab Hanafi, maksud riba adalah “lebihan yang tidak setara tukarannya mengikut ukuran yang diakui syarak dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh salah satu pihak yang berkontrak dalam kontrak pertukaran.”

Berdasarkan definisi diatas, menurut Imam Hanafi, riba akan berlaku bila kita tersalah melakukan tukaran. Antara contohnya ialah pertukaran emas dengan emas, pertukaran emas dengan duit dan pertukaran duit dengan duit. Jika terdapat lebihan yang tidak setara dengan nilai tukaran diakui syarak terhadap barang-barang tersebut, maka telah berlakunya riba.

Dalil larangan riba:

“ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 275)

Dalil amaran perang dari Allah dan RasulNya:

“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Al-Baqarah:279)

Berdasarkan ayat diatas, perlulah kita merenung betapa kerasnya amaran Allah terhadap dosa perbuatan riba ini. Peperangan ini bukanlah antara kita sebagai manusia dengan manusia yang lain. Tetapi peperangan dengan Tuhan semesta alam yang jiwa kita di dalam genggamanNya. Elemen-elemen utama yang ada di atas muka bumi seperti air dan angin, telah memberi banyak manfaat kepada manusia. Namun, air dan angin ini juga boleh dihantar Allah sebagai tenteraNya dengan membawa bala bencana yang amat dahsyat.

Lihat bagaimana Allah menghantar seekor nyamuk sahaja untuk berperang dengan seorang raja yang zalim, bernama Namrud. Lihat juga bagaimana Allah menghantar virus sebagai tenteraNya, dimana berjuta-juta manusia mati sepertimana yang berlaku pada zaman pandemik Covid 19.

Daripada ayat diatas juga boleh kita pelajari cara menyucikan harta kita jika kita terlibat dengan urusniaga yang mempunyai unsur riba. Caranya adalah dengan mengambil apa yang menjadi hak kita sahaja iaitu modal yang kita keluarkan. Selebihnya haruslah diberikan kepada Baitul Mal.

Mereka yang terlibat dengan Riba

Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu pernah mengatakan: Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, yang memberi makan riba, yang menulis transaksi, dan dua saksi transaksi riba. Beliau mengatakan, “Mereka semua sama.” (HR. Muslim 4177, Abu Daud 3335 dan yang lainnya).

Berdasarkan hadis diatas, kita mestilah menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan urusniaga riba samada secara langsung ataupun tidak langsung. Contohnya menjadi penjamin kepada pinjaman perumahan konvensional, menjadi penulis sesebuah urusniaga yang mempunyai unsur riba, menjadi agen jualan produk-produk kewangan konvensional dan sebagainya. 

Tetapi, untuk kita tahu dan sedar akan status patuh syariah sesuatu urusniaga tersebut, perlulah kita berusaha dalam mempelajari dan mendalami ilmu muamalat agar kita dapat menjauhkan diri kita daripada riba.

Jenis-jenis Riba

Seterusnya, kita akan meneliti pula jenis-jenis riba dan pecahannya. Riba terbahagi kepada dua:

  1. Riba Ad-Duyun (Riba Pinjaman)
  2. Riba Al-Buyu’ (Riba Jual-Beli)

Riba Ad-Duyun, juga diberi nama Riba Al-Quran kerana dalil dan nas berkenaan riba ini datangnya daripada Al-Quran. Riba ini terbahagi kepada dua:

  • Riba Al-Qardhu
  • Riba Al-Jahiliah

Riba Al-Buyu’,juga diberi nama Riba Al-Hadis dimana dalil dan nas berkenaannya diambil daripada hadis-hadis, terbahagi kepada dua:

  • Riba Al-Fadhl
  • Riba An-Nasiah

Riba Ad-Duyun (Riba Pinjaman) adalah lebih mudah untuk difahami, kerana konsepnya yang jelas . Riba ini berlaku apabila pembayaran balik hutang adalah lebih tinggi daripada jumlah asal hutang. Riba Al-Buyu’ pula adalah lebih kompleks kerana ia melibatkan pertukaran barang-barang ribawi yang pada zaman kini terdapat bermacam jenis cara, skim-skim, urusniaga dan sebagainya yang perlu kita pelajari dan fahami dahulu.

Stakat ini dahulu perkongsian saya pada kali ini. Saya akan berkongsi dengan lebih terperinci pecahan-pecahan riba pada perkongsian yang akan datang, In Shaa Allah. Semoga bermanfaat.

Sumber Rujukan: 

  1. Siri kuliah Lariba (https://www.facebook.com/UstazAbdulAzizMN/videos/547727439201491/)

Rating: 4 out of 5.

Analisa mudah Aliran Tunai (Cash Flow) 

Apabila hendak bercakap berkenaan pengurusan kewangan, perkara pokok yang harus kita bincangkan adalah berkenaan aliran tunai. Sebelum kita pilih untuk menyertai mana-mana pelan perlindungan takaful atau melaburkan duit kita di mana-mana instrumen pelaburan, aliran tunai kita perlulah diperbaiki dahulu. 

Aliran tunai ini adalah aliran keluar dan masuk duit kita. Duit yang kita perolehi mewakili aliran masuk tunai, manakala duit yang kita belanjakan mewakili aliran keluar tunai. Semua maklumat berkenaan aliran keluar masuk tunai boleh diperolehi daripada penyata aliran tunai.

Contoh penyata aliran tunai

Melalui penyata aliran tunai, kita boleh menilai tahap kesihatan kewangan seseorang individu. Aliran tunai positif menunjukkan bahawa perbelanjaan seseorang individu tidak melebihi pendapatannya. Lihat contoh situasi dibawah:

Jamil, seorang guru lantikan baharu dan masih bujang.

Pendapatan Bulanan

Gaji bersih : RM 1424

Bonus bersih guru kelas petang : RM 979

Jumlah : RM 2403

Perbelanjaan Bulanan

Sewa Rumah : RM 600

Barang Dapur : RM 200

Restoran : RM 400

Bayaran Kereta : RM 350

Bil Astro : RM 80

Bil Elektrik : RM 50

Bil Air : 20

Bil Telefon : 30

Bil Wifi : 80

Indahwater : RM 10

Hiburan dll. : RM 300

Jumlah : RM 2120

Pendapatan (Aliran masuk tunai) – Perbelanjaan (Aliran keluar tunai) = Pendapatan Bersih

RM 2403 – RM 2120 = RM 283

Jadi, mengikut situasi diatas, Jamil masih mempunyai lebihan tunai untuk dijadikan simpanan kecemasan. Ini menunjukkan aliran tunai Jamil adalah positif. Kenapa saya tidak menyebut pelaburan?

Dalam perancangan kewangan, simpanan kecemasan adalah terpaling utama sebelum kita mula mencari pelan perlindungan dan seterusnya melabur. Pastikan anda mempunyai simpanan kecemasan dahulu, sekurang-kurangnya 6 bulan perbelanjaan. Ibaratnya anda ingin pergi berperang, semestinya anda perlu menyiapkan diri dahulu dengan kemahiran dan kelengkapan yang sesuai sebelum anda turun ke medan perang. Simpanan kecemasan berfungsi sebagai barisan pertahanan dari segi kewangan.

“An emergency fund turns crisis into an inconvenience”

Sebaliknya, apabila aliran tunai seseorang itu negatif, perbelajaannya adalah lebih tinggi daripada pendapatannya. Lihat contoh dibawah :

Ali, seorang operator pembersihan dan masih bujang.

Pendapatan Bulanan

Gaji bersih : RM 1780

Perbelanjaan Bulanan

Sewa Rumah : RM 550

Barang Dapur : RM 200

Restoran : RM 400

Bayaran Motorsikal : RM 300

Bil Elektrik : RM 50

Bil Air : 30

Bil Telefon : 60

Bil Wifi : 60

Indahwater : RM 10

Hiburan dll. : RM 300

Jumlah : RM 1960

Pendapatan (Aliran masuk tunai) – Perbelanjaan (Aliran keluar tunai) = Pendapatan Bersih

RM 1780 – RM 1960 = – RM 180

Mengikut situasi Ali, perbelanjaannya telah melebihi pendapatannya sebanyak RM 180. Ini menunjukkan bahawa Ali berada dalam situasi kewangan yang tidak sihat dimana dia tidak mempunyai apa-apa lebihan tunai untuk disimpan. Ali perlu mendisiplinkan diri untuk mengurangkan perbelanjaannya terhadap perkara-perkara yang dianggap kemahuan dan menumpukan kepada keperluannya dahulu.

Jika kita berada dalam situasi aliran tunai negatif, anda mempunyai dua pilihan.

  • Mengurangkan perbelanjaan dan membuat bajet bulanan.
  • Menambah pendapatan dengan melakukan kerja sambilan.

Adalah diingatkan, dua situasi diatas hanyalah contoh semata-mata. Terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira ketika membuat analisa aliran tunai. Contoh diatas adalah hanya untuk memudahkan pemahaman anda terhadap topik kali ini.

Jika ada yang berminat untuk mendapatkan khidmat perancangan kewangan, dapatkan daripada individu berlesen daripada Suruhanjaya Sekuriti. Mereka inilah individu yang mempunyai kebenaran yang sah untuk membuat perancangan kewangan bagi pihak klien. Bermula daripada analisa Aliran Tunai, pelan Takaful, potfolio pelaburan sehinggalah kepada perancangan dan pengurusan Harta Pusaka. Ya, seorang ini boleh menjaga kesemua aspek kewangan tersebut, tidak perlu kepada ejen-ejen yang berbeza. Bagi yang berminat bolehlah mengadakan janji temu dengan saya, seorang perancang kewangan berlesen, melalui pautan dibawah.

Sekian dulu perkongsian saya pada kali ini. Saya akan teruskan berkongsi berkenaan pelbagai lagi topik-topik menarik pada masa akan datang, In Shaa Allah

Rating: 4 out of 5.