Hibah Takaful

Ada beberapa bakal klien yang tanya berkenaan HIBAH TAKAFUL. Saya dah pernah tulis sebelum ni. Jadi, saya tampal sekali lagi tulisan saya sebelum ini berkenaan HIBAH TAKAFUL dan apa sebenarnya keperluan sebenar seorang individu.

1. Pertama sekali, nak kena faham Hibah takaful bukanlah produk takaful. Hibah tu hadiah. Hibah adalah kaedah pengagihan harta. Ringkasnya dalam kes takaful, pampasan (gantirugi) atas sebab kematian orang yang dilindungi nanti nak bagi (agih) kepada siapa?

Perlu diingat, semua produk takaful hayat memang ada hibah.

Bahkan sebenarnya boleh pilih, nak hibah atau nak letak penama (pemegang amanah) sahaja. Kadang ada individu yang tak perlukan hibah, tapi perlukan ‘takaful trust’ sebagai kaedah penyelesaian pengagihan pampasan, bergantung kepada situasi individu tersebut.

2. Takaful hayat yang di promote sebagai Hibah takaful melindungi risiko kematian dan selalunya disertakan bersama risiko ilat kekal (lumpuh). Bermaksud ada dua kemungkinan yang boleh berlaku.

Pertama, kalau orang yang dilindungi meninggal dunia maka pampasan boleh dihibahkan.

Kedua, kalau orang yang dilindungi lumpuh tidak dapat bekerja, pampasan terus diberi dan sijil takaful ditamatkan, maka TIADALAH hibahnya.

Poinnya, ada dua jenis risiko yang perlu difikirkan sebelum buat keputusan untuk ambil produk ini, iaitu risiko meninggal dan risiko lumpuh.

Kena fikir berapa jumlah perlindungan yang diperlukan untuk kedua-dua risiko tersebut. Bajet pula adalah adalah soal kedua yang perlu diambil kira.

3. Dalam ‘risk management’ ada lima kaedah analisa yang boleh dibuat untuk menentukan jumlah keperluan perlindungan untuk menghadapi risiko kematian dan risiko lumpuh tersebut.

📍 Kaedah 1: JUMLAH PERLINDUNGAN BERSAMAAN SATU TAHUN PERBELANJAAN

Perbelanjaan bulanan darab dengan 12 bulan. Kenapa? Rujuk nas Al Quran (al-Baqarah: 240). Kalau meninggal, ada setahun perbelanjaan ditinggalkan untuk waris. Kalau lumpuh, ada setahun perbelanjaan untuk bertahan. Ini jumlah perlindungan paling minima. Kebiasaannya sesuai untuk individu dengan bajet terhad sebab jumlah sumbangan (bayaran) bulanannya juga rendah.

📍 Kaedah 2: JUMLAH PERLINDUNGAN BERSAMAAN SATU TAHUN PENDAPATAN

Pendapatan bersih bulanan darabkan dengan 12bulan.

📍Kaedah 3: JUMLAH PERLINDUNGAN BERSAMAAN 10 TAHUN PENDAPATAN (atau PERBELANJAAN)

Pendapatan/perbelanjaan bulanan didarab dengan 120bulan. Kenapa 10 tahun? Ini jumlah yang dicadangkan Malaysian Insurance Association (MIA), supaya waris atau orang yang dilindungi mampu bertahan selama 10 tahun jika ditakdirkan menghadapi salah satu daripada dua risiko tersebut.

📍 Kaedah 4: PENGEKALAN MODAL (CAPITAL INTACT METHOD)

Perbelanjaan tahunan dibahagikan dengan pulangan pelaburan jangkaan dan hasilnya adalah jumlah perlindungan yang diperlukan sebagai modal pelaburan.

Contohnya, perbelanjaan tahunan adalah RM60k setahun dan instrumen pelaburan yang dipilih mampu memberikan pulangan sebanyak 6% setahun. RM60k bahagi 6%, maka jumlahnya adalah RM1 juta.

Jadi RM1 juta ini adalah jumlah perlindungan takaful yang diperlukan. Jika ditakdirkan meninggal atau lumpuh, pampasan RM1 juta yang diterima nanti akan dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan yang mampu berikan pulangan 6% setiap tahun (menghasilkan RM60k setiap tahun).

Ini kaedah kekalkan modal sedia ada dan perbelanjaan hanya menggunakan pulangan pelaburan sahaja. Kaedah ini juga dipanggil kaedah Penggantian Gaji Berterusan (Income Replacement).

Kalau meninggal, waris dapat gaji berterusan. Kalau lumpuh, orang yang dilindungi juga masih dapat gaji berterusan.

Kaedah ini sangat sesuai untuk individu pencari nafkah utama. Sekiranya meninggal, kaedah ini dapat membantu memberikan isteri atau waris gaji berterusan. Sekiranya lumpuh, isteri atau waris yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga kita juga terbela.

📍 Kaedah 5: PENGEKALAN MODAL (CAPITAL INTACT METHOD) + 1 TAHUN PENDAPATAN

Sama seperti kaedah 4 tetapi ditambahkan perbelanjaan dengan 1 tahun pendapatan.Kenapa tambah 1 tahun pendapatan? Sebab 1 tahun pendapatan yang ditambah boleh digunakan sebagai perbelanjaan tahun pertama dan selebihnya dilaburkan.

Perbelanjaan tahun kedua dan seterusnya pula menggunakan hasil pulangan pelaburan.

4. Selepas dah buat kiraan jumlah perlindungan yang diperlukan, kemudian baru fikir pasal bajet. Pilih yang bersesuaian dengan bajet. Perlu diingat, takaful hayat ini adalah komitmen jangka panjang untuk urus risiko. Sebaiknya, buat perbandingan antara syarikat takaful yang ada.

Jangan sekadar ambil apa yang ejen tawarkan dan jangan hanya fikir sekadar nak ada takaful sahaja. Setiap keputusan kewangan yang dibuat perlu bersebab, supaya tidak menyesal kemudian hari.

Harapnya penerangan panjang ini dapat membantu anda buat keputusan yang betul.

Sumber Asal – Faiz Akmal

#TSIGroup
#TheSophisticatedInvestor
#takaful

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: