Selamat tinggal hutang!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Ramai dalam kalangan kita yang pada suatu tahap, berasa terbeban dengan hutang-hutang yang ada. Tidaklah kesemua hutang itu buruk. Namun, menyelesaikan hutang- hutang yang ada adalah antara cara untuk kita lebih tenang, sekaligus dapat mengurangkan komitmen bulanan dan meningkatkan Nilai Aset Bersih. Disini saya akan kongsikan, 5 cara untuk anda selesaikan hutang-hutang anda.

“Everytime you borrow money, you’re robbing your future self”

1. Debt Swap

Cara yang pertama adalah dengan menggunakan teknik penukaran hutang. Secara ringkasnya, dengan cara ini, anda perlu menukar syarikat yang sedang anda berhutang, kepada syarikat yang lain. Motifnya adalah anda menukar syarikat yang mengenakan kadar bunga/keuntungan yang tinggi kepada yang lebih rendah.

Sebagai contoh, hutang kad kredit daripada syarikat A mengenakan kadar bunga/keuntungan sebanyak 20% setahun. Dengan sedikit penyelidikan dan beberapa panggilan telefon, anda telah menjumpai sebuah syarikat yang menawarkan kadar bunga/keuntungan sebanyak 15%. Apa yang anda perlu lakukan adalah anda daftar akaun kad kredit baru dengan syarikat tersebut dan pindahkan baki hutang daripada syarikat A masuk kedalam syarikat ini. Secara tidak lansung, anda akan dapat menyelesaikan hutang kad kredit anda dengan lebih cepat.

2. Debt Stretch

Secara ringkasnya, teknik ini memerlukan anda untuk memanjangkan tempoh hutang anda. Cara ini akan dapat mengurangkan kadar bunga/keuntungan yang dikenakan. Dengan kadar bunga/keuntungan yang rendah, anda dapat mengurangkan bayaran bulanan sekaligus dapat mewujudkan duit lebihan pada setiap bulan. Duit lebihan ini boleh anda gunakan untuk melangsaikan hutang-hutang lain yang tidak dapat dipanjang.

Selalunya, hutang yang dapat dipanjangkan adalah hutang rumah. Apa yang anda perlu buat adalah, anda perlu memohon untuk ‘refinance’ hutang rumah anda. Dengan cara ini, anda akan memanjangkan lagi tempoh hutang, dan dapat mengurangkan bayaran bulanan. Duit lebihan bulanan tersebut bolehlah anda gunakan untung melangsaikan hutang-hutang yang lain.

3. Debt Snowball

Cuba anda bayangkan, sebiji bola salji yang terkumpul dan bergolek dari atas sebuah bukit. Bola salji tersebut bermula daripada kecil kemudian bergolek kebawah dan pada masa yang sama menjadi lebih besar dan besar dengan pantas. Begitulah juga dengan teknik ini. Perkara pertama yang anda perlu buat adalah menyenaraikan hutang-hutang yang ada dan cuba untuk mencari sedikit duit lebihan untuk anda tambah kepada bayaran bulanan sedia ada. Katakan duit lebihan yang berjaya anda dapatkan adalah RM 200.

Sebagai contoh, anda mempunyai hutang kad kredit, hutang peribadi, hutang motor, hutang kereta dan hutang rumah. Bayaran bulanan sedia ada untuk hutang kad kredit, hutang yang mempunyai baki terendah, adalah RM 300. Dengan duit lebihan RM 200 tadi, anda dapat meningkatkan bayaran kepada RM 500 sebulan. Ini akan memendekkan tempoh bayaran hutang tersebut. Setelah selesai hutang kad kredit, anda teruskan dengan membayar hutang yang mempunyai baki terendah berikutnya. Katakan ianya adalah hutang peribadi dengan bayaran bulanan RM 700. RM 500 daripada bayaran hutang kad kredit yang telah langsai tadi anda boleh tambahkan kepada bayaran hutang peribadi menjadikan jumlah bayaran sebanyak RM 1200 sebulan. Dengan jumlah tambahan ini, anda akan mempercepatkan tempoh bayaran hutang tersebut. Ulang langkah tadi dengan hutang-hutang berikutnya. Anda nampak bagaimana bayaran bulanan anda membesar simbolik kepada bola salji yang bergolek kebawah bukit tadi?

4. Debt Avalanche

Cara ini secara asasnya adalah sama sahaja dengan cara sebelum ini. Bezanya adalah selain melihat kepada baki hutang, kita akan melihat kepada kadar bunga/keuntungan hutang. Pertamanya, senaraikan hutang-hutang anda dan usaha untuk dapatkan duit lebihan.

Mulakan dengan menyelesaikan hutang yang mempunyai kadar bunga/keuntungan yang paling tinggi dahulu. Selalunya, hutang kad kreditlah yang kadarnya paling tinggi. Selesaikan hutang tersebut menggunakan cara-cara yang telah saya terangkan pada poin ketiga. Kemudian ulang untuk hutang-hutang berikutnya.

5. Debt Consolidation

Cara ini ringkasnya, anda akan mengumpulkan hutang-hutang kecil kedalam satu hutang yang mempunyai kadar bunga/keuntungan yang rendah. Cara ini biasanya digunakan dengan anda ‘refinance’ hutang rumah anda. Melalui ‘refinancing’, anda akan dapat merealisasikan kenaikan harga rumah anda dalam bentuk wang tunai. Wang tunai inilah yang anda guna untuk membayar hutang kad kredit, peribadi dan sebagainya.

Sebagai contoh, kita gunakan senarai hutang seperti contoh diatas. Katakan anda telah membeli sebuah rumah pada tahun 2011 pada harga RM 200,000. 10 tahun kemudian, harga rumah tersebut telah menjadi RM 400,000. Setelah 10 tahun pembayaran, baki hutang hanya tinggal RM 150,000. Secara ringkasnya, anda akan membuat hutang baru berdasarkan nilai semasa rumah anda, iaitu RM 400,000. Setelah menolak baki hutang yang tinggal, anda akan menerima sejumlah wang bernilai RM 210,000. Wang ini akan anda gunakan untuk melangsaikan hutang-hutang yang lain. Hati-hati ya, jumlah tersebut adalah sangat besar. Pastikan jelas tujuan anda sebelum melaksanakan cara ini agar duit tersebut tidak dihanguskan untuk perkara sia-sia.

Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Semoga bermanfaat.

ImranZakir, Perancang Kewangan Islam Berlesen (IFP.FPR)

#TSI #TheSophisticatedInvestor

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: