Bagaimana individu terkaya dunia sebenarnya tak banyak duit.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 13 Oktober 2021, Elon Musk tersenarai sebagai individu terkaya dunia dengan mencatatkan Nilai Aset Bersih sebanyak USD 206.6 Bilion. Elon Musk dikenali dengan dedikasinya untuk mencorak masa depan manusia kearah Sustainable Energy dan Multi Planetary Species. Perkara ini dapat dilihat melalui pengasasan beberapa syarikat seperti Tesla, SpaceX, HyperLink, OpenAI, NeuraLink dan Hyperloop.

Sebagai konteks, Nilai Aset Bersih Elon Musk adalah hampir sama dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), Greece. Dari sudut lain, nilai ini bersamaan 15x Nilai Aset Bersih Twitter.Inc, mampu membeli 71,034 Bugati Chiron dan 17.4 Juta Perodua Myvi.

Namun disebalik kemewahan tersebut, Elon Musk tidaklah mempunyai duit yang banyak di dalam akaun simpanannya. Setelah menjual hampir kesemua aset hartanah beliau, Elon sekarang sedang menyewa sebuah Rumah Pasang Siap yang diletakkan berhampiran dengan syarikat beliau, SpaceX. Jadi, bagaimanakah perkara sebegini boleh berlaku? Individu yang paling kaya di dunia, tetapi tidak mempunyai duit yang banyak.

Kediaman Elon Musk di Boca Chica, Texas.

Sebelum kita mencari jawapan kepada persoalan diatas, kita perlu memahami dahulu bagaimana seseorang itu boleh mencapai taraf Jutawan. Jika kita lihat senarai individu terkaya di dunia, mereka-mereka ini samada membangunkan syarikat mereka sendiri daripada kosong ataupun mereka dilantik menjadi CEO sesebuah syarikat yang besar. Selain Elon Musk, individu-individu seperti Jeff Bezos, Bill Gates, Mark Zuckerberg dan Larry Ellison merupakan antara Jutawan terkemuka dunia. Kesemua daripada nama-nama diatas merupakan pengasas kepada syarikat mereka sendiri.

Apabila kita menubuhkan sesebuah syarikat, secara asalnya syarikat tersebut adalah milik kita sepenuhnya. Tetapi, apabila syarikat ataupun bisnes kita mula berkembang, kita memerlukan lebih banyak modal untuk terus mengembangkan lagi bisnes kita. Untuk itu, antara perkara yang kita boleh laksanakan adalah dengan menarik para pelabur yang berminat untuk melabur ke dalam syarikat kita.

Setiap pelabur yang melabur ke dalam syarikat kita, pada masa yang sama akan memperolehi hak milik keatas syarikat tersebut dalam bentuk ‘shares’ ataupun saham sesuatu syarikat. Jumlah saham yang dimiliki bergantung kepada modal yang dikeluarkan dan akan menentukan tahap kekuasaan keatas sesebuah syarikat melalui hak pengundian (Voting Rights). Selalunya, pengasas sesebuah syarikat akan memegang majoriti saham syarikat tersebut. Ini adalah bertujuan untuk mengekalkan kuasa dalam membuat apa-apa keputusan melibatkan syarikat.

Sumber kekayaan pengasas ataupun CEO, majoritinya berasal daripada gaji, bonus, dan pegangan majoriti saham sesebuah syarikat. Bagi syarikat yang besar, pegangan saham syarikat adalah lebih penting daripada gaji ataupun bonus yang diperolehi. Tim Cook, pada tahun 2020, telah menerima gaji dan bonus berjumlah USD 14.8 Juta daripada syarikatnya, Apple. Bagi kita, nilai ini tersangatlah besar. Kita perlu membelanjakan USD 1000 sehari, selama 40 tahun untuk menghabiskan jumlah tersebut. Nilai aset bersihnya pula adalah berjumlah USD 1.4 Bilion. Ini bermakna, gaji dan bonus yang diterima hanyalah mewakili 1.06% daripada nilai aset bersihnya.

Begitu juga situasi untuk Elon Musk. Malahan, beliau memilih untuk tidak menerima apa-apa gaji atau bonus daripada syarikatnya Tesla dan SpaceX. Majoriti kekayaan beliau adalah daripada pegangan saham Tesla yang meningkat harganya secara mendadak. Lima tahun yang lepas, harga seunit saham Tesla bernilai USD 39.30. Harga saham Tesla telah meningkat sebanyak 1950% dan bernilai USD 805.72 seunit pada Oktober tahun ini. Syarikat Tesla juga mempunyai Market Capitalization, ataupun Nilai Pasaran Saham, sebanyak USD 1.02 Trilion dimana Elon memiliki 23.1% daripadanya. Selain itu, syarikat lain milik beliau, SpaceX, telah dikhabarkan bernilai USD 100 Bilion dan Elon memiliki 43.61% daripadanya.

Ringkasnya, majoriti kekayaan Elon Musk adalah daripada peningkatan nilai saham syarikat Tesla dan SpaceX yang dimilikinya, bukan jumlah wang yang berada di dalam akaun Bank Islamnya (gurauan semata). Jadi, begitulah bagaimana seseorang itu boleh memiliki Nilai Aset Bersih yang tinggi, tetapi tidak mempunyai duit yang banyak.

Apa yang lebih menarik untuk situasi Elon Musk, kebarangkalian untuk beliau menjual saham-saham yang dimilikinya untuk wang semata-mata adalah sangat rendah. Hal ini adalah kerana beberapa faktor. Pertamanya, Elon telah menjadikan sebahagian saham-saham miliknya sebagai cagaran untuk meminjam sejumlah wang yang besar. Selain itu, jika beliau menjual kesemua saham-saham syarikatnya, beliau akan hilang kekuasaan terhadap syarikat tersebut terutamanya SpaceX. Kita boleh lihat bagaimana kesungguhan Elon dalam merealisasikan impian untuk mengkolonisasikan planet Marikh. Kemudian, beliau juga akan dikenakan cukai jika beliau menjual saham-saham pegangannya.

Kesimpulannya, Elon Musk tidak akan dapat memiliki wang USD 206.6 Bilion tanpa menguburkan impian dan cita-citanya untuk mempercepatkan pengunaan Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy) dan menjadikan manusia makhluk yang mendiami pelbagai planet (Multi Planetary Species). Nilai tersebut terikat hanya kepada nilai saham-saham syarikat yang dipegangnya.

Semoga Bermanfaat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: