Apa itu Riba?

Assalamualaikum, dan Salam Sejahtera.

Apa itu riba? Ini adalah satu topik yang kompleks dan ramai dalam kalangan kita, yang masih tidak faham apakah itu riba. Riba merupakan salah satu daripada unsur-unsur dalam sesebuah urusniaga yang diharamkan oleh syarak.

Imran Zakir LFP

Riba ini merupakan satu topik yang sentiasa berkembang seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi sehingga menjadi suatu perkara yang sangat kompleks. Topik ini tidak akan dapat kita mahir tanpa kajian yang mendalam terhadap perkembangan teknologi dan perkara-perkara yang boleh menjurus kepada berlakunya riba.

Nabi SAW bersabda: “Tidak berganjak kedua kaki anak Adam pada hari Qiamat sehinggalah dia disoal tentang empat perkara : tentang umurnya, pada apakah dihabiskan? Tentang masa mudanya bagaimanakah dipergunakan? Tentang hartanya, dari manakah dia memperolehinya dan kemanakah dibelanjakan? Tentang ilmunya, apakah yang diamalkannya.”(HR Tirmizi)

Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut (mencari) yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dari Anas r.a. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini darjatnya hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5270).

Maksud riba dari segi bahasa adalah lebih, biak, kembang, bertambah atau subur di atas sesuatu daripada ukuran asal atau jumlah. 

Menurut Mazhab Hanafi, maksud riba adalah “lebihan yang tidak setara tukarannya mengikut ukuran yang diakui syarak dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh salah satu pihak yang berkontrak dalam kontrak pertukaran.”

Berdasarkan definisi diatas, menurut Imam Hanafi, riba akan berlaku bila kita tersalah melakukan tukaran. Antara contohnya ialah pertukaran emas dengan emas, pertukaran emas dengan duit dan pertukaran duit dengan duit. Jika terdapat lebihan yang tidak setara dengan nilai tukaran diakui syarak terhadap barang-barang tersebut, maka telah berlakunya riba.

Dalil larangan riba:

“ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 275)

Dalil amaran perang dari Allah dan RasulNya:

“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Al-Baqarah:279)

Berdasarkan ayat diatas, perlulah kita merenung betapa kerasnya amaran Allah terhadap dosa perbuatan riba ini. Peperangan ini bukanlah antara kita sebagai manusia dengan manusia yang lain. Tetapi peperangan dengan Tuhan semesta alam yang jiwa kita di dalam genggamanNya. Elemen-elemen utama yang ada di atas muka bumi seperti air dan angin, telah memberi banyak manfaat kepada manusia. Namun, air dan angin ini juga boleh dihantar Allah sebagai tenteraNya dengan membawa bala bencana yang amat dahsyat.

Lihat bagaimana Allah menghantar seekor nyamuk sahaja untuk berperang dengan seorang raja yang zalim, bernama Namrud. Lihat juga bagaimana Allah menghantar virus sebagai tenteraNya, dimana berjuta-juta manusia mati sepertimana yang berlaku pada zaman pandemik Covid 19.

Daripada ayat diatas juga boleh kita pelajari cara menyucikan harta kita jika kita terlibat dengan urusniaga yang mempunyai unsur riba. Caranya adalah dengan mengambil apa yang menjadi hak kita sahaja iaitu modal yang kita keluarkan. Selebihnya haruslah diberikan kepada Baitul Mal.

Mereka yang terlibat dengan Riba

Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu pernah mengatakan: Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, yang memberi makan riba, yang menulis transaksi, dan dua saksi transaksi riba. Beliau mengatakan, “Mereka semua sama.” (HR. Muslim 4177, Abu Daud 3335 dan yang lainnya).

Berdasarkan hadis diatas, kita mestilah menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan urusniaga riba samada secara langsung ataupun tidak langsung. Contohnya menjadi penjamin kepada pinjaman perumahan konvensional, menjadi penulis sesebuah urusniaga yang mempunyai unsur riba, menjadi agen jualan produk-produk kewangan konvensional dan sebagainya. 

Tetapi, untuk kita tahu dan sedar akan status patuh syariah sesuatu urusniaga tersebut, perlulah kita berusaha dalam mempelajari dan mendalami ilmu muamalat agar kita dapat menjauhkan diri kita daripada riba.

Jenis-jenis Riba

Seterusnya, kita akan meneliti pula jenis-jenis riba dan pecahannya. Riba terbahagi kepada dua:

  1. Riba Ad-Duyun (Riba Pinjaman)
  2. Riba Al-Buyu’ (Riba Jual-Beli)

Riba Ad-Duyun, juga diberi nama Riba Al-Quran kerana dalil dan nas berkenaan riba ini datangnya daripada Al-Quran. Riba ini terbahagi kepada dua:

  • Riba Al-Qardhu
  • Riba Al-Jahiliah

Riba Al-Buyu’,juga diberi nama Riba Al-Hadis dimana dalil dan nas berkenaannya diambil daripada hadis-hadis, terbahagi kepada dua:

  • Riba Al-Fadhl
  • Riba An-Nasiah

Riba Ad-Duyun (Riba Pinjaman) adalah lebih mudah untuk difahami, kerana konsepnya yang jelas . Riba ini berlaku apabila pembayaran balik hutang adalah lebih tinggi daripada jumlah asal hutang. Riba Al-Buyu’ pula adalah lebih kompleks kerana ia melibatkan pertukaran barang-barang ribawi yang pada zaman kini terdapat bermacam jenis cara, skim-skim, urusniaga dan sebagainya yang perlu kita pelajari dan fahami dahulu.

Stakat ini dahulu perkongsian saya pada kali ini. Saya akan berkongsi dengan lebih terperinci pecahan-pecahan riba pada perkongsian yang akan datang, In Shaa Allah. Semoga bermanfaat.

Sumber Rujukan: 

  1. Siri kuliah Lariba (https://www.facebook.com/UstazAbdulAzizMN/videos/547727439201491/)

Rating: 4 out of 5.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: